header ads

Keutamaan solat berjemaah, solat awal waktu, saf hadapan dan khusyuk




            Jika anda ingin menjadi seorang muslim yang lebih baik tetapi tidak tahu hendak bermula daripada mana? Jum kita kembali kepada amalan asas, iaitu solat berjemaah. Kita tidak dapat menjadi lebih baik secara efektif jika melakukannya bersendirian. Solat berjemaah adalah permulaan yang bagus terutama bagi lelaki.

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Jika kita datang solat berjemaah, kita cuba menjadi jemaah yang terbaik. Amalan bonus yang boleh kita buat ialah solat di awal waktu, berada di saf pertama dan yang paling penting, khusyuk dan menghayati ketika melakukan solat. Berikut merupakan anjuran beserta dalil dalam melakukan amalan tersebut.

Keutamaan Solat Berjemaah

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ

Maksudnya :” Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”
(Surah Al-Nisa’ : 102)

Al-Khatib Al-Syarbini menyatakan :

“Perintah ini diturunkan ketika waktu perang, maka sudah semestinya lebih utama dilakukan ketika dalam keadaan aman.”

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya :” Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”
Riwayat Muslim (1509)

Jika ada yang mendirikan solat secara berjemaah yang paling kurang mempunyai sorang imam dan makmum, maka dia tetap akan mendapat ganjaran berdasarkan hadis. 

Namun begitu, solat berjemaah yang paling baik dan afdal adalah yang didirikan di masjid. 

Daripada Abu Hurairah :

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِى الْجَنَّةِ نُزُلاً كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Maksudnya :” Sesiapa yang pergi dan balik dari masjid, maka Allah akan menyediakan baginya tempat di syurga setiap kali dia pergi dan balik.”
Riwayat Muslim (1556)

Nabi SAW bersabda lagi di dalam sebuah hadis yang lain :

مَنْ تَطَهَّرَ فِى بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِىَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً

Maksudnya :” Sesiapa yang bersuci di rumahnya kemudian berjalan menuju ke salah satu dari rumah-rumah Allah (masjid) untuk menunaikan solat yang telah difardukan oleh Allah, maka kedua-dua langkahan kakinya itu salah satunya menghapuskan dosa dan yang lain mengangkat darjat.”
Riwayat Muslim (1553)

Nabi SAW memberikan amaran keras bagi sesiapa yang tidak hadir solat berjemaah di masjid. Sabda Nabi SAW :

لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَتُقَامَ ثُمَّ أُخَالِفَ إِلَى مَنَازِلِ قَوْمٍ لَا يَشْهَدُونَ الصَّلَاةَ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ

Maksudnya :” Sesungguhnya aku bertekad supaya solat didirikan kemudian aku akan pergi kepada setiap rumah seseorang yang tidak hadir solat berjemaah lalu akan aku perintahkan agar dibakar rumah mereka.”
Riwayat Al-Bukhari (2420)


Keutamaan solat awal waktu

فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ (4 )  الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ 

(kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.  (al-Maun: 4-5)

Dari Al Qasim bin Ghannam dari bibinya Ummu Farwah dan dia termasuk orang yang ikut serta berbaiah kepada Nabi SAW bahawasanya ia berkata; “Nabi SAW pernah ditanya, “Amalan apakah yang paling utama?” baginda menjawab: “Solat pada awal waktu.”(HR. Tirmidzi No: 155}.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abu Qatadah bin Rib’iy mengabarkan kepadanya bahwa Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam bersabda:
“Allah Ta’ala berfirman: ” ‘Sesungguhnya Aku mewajibkan umatmu solat lima waktu, dan Aku berjanji bahwa barangsiapa yang menjaga waktu-waktunya pasti Aku akan memasukkannya ke dalam surga, dan barangsiapa yang tidak menjaganya maka dia tidak mendapatkan apa yang aku janjikan”

Saf pertama

‏ لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الأَوَّلِ، ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلاَّ أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لاَسْتَهَمُوا

Maksudnya: Sekiranya manusia mengetahui apa (kebaikan) yang terdapat pada azan dan saf yang pertama, kemudian mereka tidak mendapati cara untuk mendapatkan ia melainkan dengan mencabut undi, pasti mereka akan mencabut undi.
Riwayat Al-Bukhari (615)

Riwayat daripada Abd al-Rahman bin ‘Auf beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ إِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الصَّفِّ الأَوَّلِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas saf yang pertama.
Riwayat Ibn Majah (999)

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

Maksudnya: Sebaik-baik saf orang lelaki adalah saf yang terawal dan seburuk-buruk saf orang lelaki adalah yang paling belakang. Manakala sebaik-baik saf orang perempuan adalah saf yang terakhir manakala seburuk-buruk saf orang perempuan adalah yang paling hadapan.

Khusyuk dalam solat

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ  الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. Yang mana mereka itu khusyuk di dalam solat mereka.
Surah Al-Mu’minuun (1-2)



Cara mendapatkan khusyuk

1) Mengingati mati

Mengingati kematian dapat membantu seseorang untuk mencapai kekhusyukan di dalam solat. Nabi S.A.W bersabda:

اذْكُرِ المَوتَ فِى صَلَاتِكَ فإنَّ الرَّجُلَ إِذَا ذَكَرَ المَوْتَ فِى صَلَاتِهِ فَحَرِىٌّ أْن يُحْسِنَ صَلَاتَه وَصَلِّ صَلَاةَ رَجُلٍ لَا يَظُنّ أنَّهُ يُصَلِّى صَلَاةً غيرَهَا وَإِيَّاكَ وكلَّ أمرٍ يعتذرُ مِنْهُ

Maksudnya: Ingatlah kematian dalam solatmu kerana jika seseorang mengingat mati dalam solatnya, maka ia akan mempeelokkan solatnya. Solatlah seperti solat orang yang tidak menyangka bahawa dia masih berkesempatan untuk melakukan solat yang lain. Hati-hatilah dengan perkara yang kelak kamu terpaksa meminta uzur (meralatnya) (kerana tidak mampu memenuhinya). Riwayat Al-Baihaqi dalam Kitab Al-Zuhd

2) Tidak tergopoh gapah dalam mengerjakan solat

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. beliau berkata:

 أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَدَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَرَدَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عَلَيْهِ السَّلاَمَ فَقَالَ ‏"‏ ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ 

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W masuk ke dalam sebuah masjid lalu seorang lelaki juga turut masuk ke dalam masjid tersebut dan dia melakukan solat dua rakaat kemudian dia datang ke arah Nabi dan memberi salam kepada baginda. Maka Rasulullah S.A.W menjawab salam tersebut lalu berkata: Pergilah kamu dan solatlah kembali kerana sesungguhnya kamu masih belum solat.

3) Menghayati makna bacaan dalam solat

Imam Ibn al-Qayyim pernah mengatakan:

صَلَاةُ المُنَافِقِينَ صَلَاةُ أَبْدَان، لَا صَلَاة قُلُوب

Maksudnya: Solat orang-orang munafiq adalah solat anggota badan, bukannya solat jantung hati. Lihat Madaarij Al-Saalikin, Ibn al-Qayyim (1/354).

Post a Comment

0 Comments