header ads

10 Muwasafat Tarbiyah - Peribadi seorang Muslim

 

                    Setiap muslim diajar dan dididik untuk memiliki akhlak yang baik dan mulia sepertimana yang dianjurkan di dalam Qalam Allah dan juga contoh ikutan daripada sunah Rasulullah s.a.w. 

               Antara rujukan yang selalu diajar di sekolah ialah 4 sifat nabi, iaitu shiddiq (berkata benar), amanah (dipercayai), tabligh (menyampaikan) dan fathanah (cerdas).

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْءَاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu yaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Al Ahzab 21)

               Selain 4 sifat di atas, saya nak kongsi ciri-ciri seorang muslim yang digariskan oleh tokoh Islam terkenal Hassan al-banna, iaitu 10 muwasafat tarbiyah. Ia berpandukan kepada al-Quran dan sunnah untuk menjadi ikutan anak didiknya. 

                  Ciri ini digunakan secara meluas di dalam usrah-usrah di Malaysia kerana ia amat mudah difahami dan menyeluruh. Berikut merupakan ciri-ciri tersebut. 


1. Aqidah yang sejahtera (salimul 'aqidah)



                Setiap muslim hendaklah berpegang kepada aqidah yang benar dan diiktiraf oleh para ulama ahli sunnah wal jamaah. Manusia sentiasa berhadapan dengan pelbagai pemikiran atau falsafah berkaitan penciptaan manusia. Meskipun dalam agama Islam sendiri terdapat pelbagai teori, tafsiran dan pendapat bercanggah yang mengelirukan orang awam.

               Oleh itu kita hendaklah sentiasa belajar dan pupuk perasaan suka hadir ke majlis ilmu bagi mengulangkaji pengetahuan kita berkenaan aqidah yang sebenar dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang mengancam aqidah seperti perbuatan syirik.


2. Ibadah yang sohih (sohihul 'ibadah)



               Kita hendaklah sentiasa berusaha untuk beramal ibadah dalam kesibukan kita mengejar matlamat dunia. Sibuk dalam membina kerjaya dan harta merupakan perlumbaan yang tidak berkesudahan. Tidak dinafikan dalam membina tamadun Islam, kuasa ekonomi sangat penting. 

               Jika terlalu asyik dalam mengejar dunia, kita akan lupa matlamat sebenar kita untuk menjadi hamba Allah, dan menggunakan harta cuma untuk memenuhi hawa nafsu. Ibadah membantu mengingatkan diri kita akan matlamat sebenar. 

                Dalam melaksanakan ibadah juga, kita hendaklah memastikan amalan kita merupakan amalan yang sahih, bukan sekadar mengikut-ikut. Selain itu, berusahalah untuk istiqamah. 

              Dalam membina peribadi, rutin harian kita memberi definisi siapa kita.  Elakkan berlebihan dalam beramal, dan jangan tergopoh-gapah, supaya kita mampu bertahan dalam beramal dan merasai kemanisan dalam beribadah, insyaAllah. 


3. Akhlak yang mantap (matinul khuluq)



                Akhlak yang baik membina pengaruh. Peranan akhlak untuk setiap individu amat penting dan menentukan sama ada dia disukai atau dibenci. Akhlak juga menentukan sama ada kehidupan seharian kita ditempuhi dalam kemudahan atau kesukaran. 

                 Akhlak adalah ramuan utama dalam menjaga perhubungan sesama manusia. Menjaga hubungan baik pula menentukan kebahagiaan hidup seseorang berdasarkan kajian paling lama dijalankan iaitu selama 80 tahun oleh Universiti Harvard, US. 

Baca: https://news.harvard.edu/gazette/story/2017/04/over-nearly-80-years-harvard-study-has-been-showing-how-to-live-a-healthy-and-happy-life/

                     Terlalu taksub dalam mengejar pangkat dan harta antara sebab utama akhlak diabaikan. Contoh terbaik untuk diikuti tidak lain tidak bukan Nabi Muhammad s.a.w. Ikutan terbaik umat akhir zaman. 


4. Mampu berdikari (qadiran 'ala kasbi)


                 Kebergantungan kita terhadap orang lain, terutamanya mereka yang sudah mampu bekerja ialah perkara yang harus dielakkan. Ia merupakan nilai yang kita letak untuk setiap diri kita dalam menjalankan kehidupan dan berkait rapat dengan maruah dan kehormatan. 

                Menjadikan orang lain bergantung dengan kita lebih mulia daripada kita bergantung dengan orang lain. Kita mampu memberi lebih manfaat kepada bangsa dan agama dengan sifat berdikari. Jangan terkeliru dengan tawakal, sepertimana yang disebutkan dalam hadis di bawah.



أَخْبَرَنَا الْحُسَيْنُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْقَطَّانُ قَالَ حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ عَمَّارٍ قَالَ حَدَّثَنَا حَاتِمُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ قَالَ حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ جَعْفَرِ بْنِ عَمْرِو بْنِ أُمَيَّةَ
عَنْ أَبِيهِ قَالَ: قَالَ رَجُلٌ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرْسِلُ نَاقَتِي وَأَتَوَكَّلُ؟ قال: "اعقلها وتوكل


Seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: Aku lepaskan unta aku dan aku bertawakkal? Baginda menjawab: Ikatlah unta itu dan bertawakkallah. [Sahih Ibn Hibban, no: 731].

              Sifat keberserahan kita kepada Allah ialah sifat yang mulia, tetapi ia mestilah diiringi dengan usaha. Berusahalah kita menjadi insan yang mampu menyara diri dan keluarga, cukupkan keperluan dan seterusnya manfaatkan sehabisnya kehidupan kita untuk membina kembali ketamadunan Islam. 

Imam Hassan Al-Banna menegaskan : 

       “Wajib ke atas muslim kekal dengan pekerjaan yang diusahakannya sekalipun ia telah kaya. Jangan mengejar jawatan, tapi tidak menolak sekiranya diberi peluang. Hendaklah menghindarinya apabila bertembung dengan tugasan dakwah.”

5. Berpengetahuan luas (mutsaqqafal fikri) 



        Seorang muslim yang baik sentiasa berusaha menambah ilmunya sepanjang masa. Ini kerana dengan ilmu darjat seseorang itu dinaikkan. Dengan ilmu kita mampu menyelesaikan masalah yang tidak dapat diselesaikan orang lain. Dengan ilmu kita dapat membezakan keutamaan dengan kelalaian. 

              Islam menganjurkan umatnya berjaya dalam kehidupan dunia. Jadilah yang terbaik dalam bidang masing-masing. Bahkan umat Islam seharusnya menguasai pelbagai bidang yang menjurus kepada kemajuan hidup. Pasaran saham, genetik pertanian, rekacipta, automasi pemanduan, kecerdasan buatan (A.I.), keusahawanan, fizik kuantum dan apa sahaja cabang ilmu, setiapnya mesti ada orang Islam yang menjadi tokoh. 

              Penguasaan setiap cabang ilmu akan menjadikan orang Islam menjadi rujukan oleh orang lain dan mengubah persepsi dunia terhadap agama Islam yang berada pada tahap yang tidak memuaskan pada masa ini. Dengan ilmu juga kita dapat mengetahui ancaman terhadap agama pada hari ini dan merangka pelan yang efektif dan strategik untuk mendaulatkan agama Islam.


6. Kuat tubuh badan (qawiyyul jism)


Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam :
اَلْـمُؤْمِنُ الْقَـوِيُّ خَـيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَـى اللهِ مِنَ الْـمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ وَفِـيْ كُـلٍّ خَـيْـرٌ
Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allâh daripada Mukmin yang lemah; dan pada keduanya ada kebaikan. 
Diriwayatkan oleh Muslim (no. 2664)
            Islam menganjurkan umatnya menjaga kesihatan tubuh badan. Bahkan menggalakkan umat menguatkan tubuh badan dengan aktiviti-aktiviti sukan. Seperti yang diketahui umum, tubuh badan yang tidak sihat merencatkan aktiviti lainnya. Produktiviti turun mendadak dan tidak mampu memimpin secara efektif. 

           Seperti yang diajar di dalam maqasid syariah, kesihatan tubuh badan ialah keutamaan dan agama berdiri di atas tubuh badan yang sihat. Oleh itu, aktifkan diri kita dengan aktiviti-aktiviti sukan dan jangan lupa menjaga pemakanan yang seimbang.


7. Bersungguh-sungguh melawan nafsu (mujahadah 'ala nafs)


            Nafsu sentiasa bertentangan dengan pembinaan iman. Nafsu berada di dalam minda separa sedar. Jika kita tidak menumpukan perhatian dalam aktiviti seharian, kemungkinan besar setiap perlakuan dan arah tuju diarah dan dipimpin oleh nafsu.

             Ia perlu dilawan secara sedar dan awas. Melawan hawa nafsu seperti mendaki bukit, dan menuruti nafsu seperti menurun bukit. Sudah tentu mendaki itu lebih sukar dan perlukan lebih tenaga. Tetapi orang yang mendaki, kedudukannya lebih tinggi dan mulia berbanding yang sebaliknya. 

              Tidak ada cara lain untuk melawan hawa nafsu selain daripada mujahadah, bersusah payah dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya. Sentiasa perbaharui niat kita dan mengingatkan kembali tujuan hidup di dunia. 


8. Menjaga waktu (haarithun 'ala waktihi)


وَالْعَصْرِ(1)إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ(2)إِلَّا الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ(3

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”. (al-‘Asr: 1-3)




لا تزول قدما عبد حتى يسأل عن عمره فيما أفناه، وعن علمه فيم فعل فيه، وعن ماله من أين اكتسبه وفيم أنفقه، وعن جسمه فيم أبلاه‏

“Tidak akan berganjak dua kaki seorang hamba Allah (dari tempat hisab di padang mahsyar) sebelum ia ditanya berkenaan;
1. Umurnya (yakni masa-masa di sepanjang umurnya); bagaimana ia habiskannya?
2. Ilmunya; bagaimana ia amalkannya?
3. Hartanya; dari mana ia perolehi dan cara mana ia belanjakannya?
4. Tubuh-badannya; bagaimana ia gunakannya?
(Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Barzah Nadhlah ibn ‘Abid al-Aslami)


             Seorang muslim yang baik menggunakan setiap saatnya dengan adil sesuai dengan nilai waktu tersebut. Walau sekaya mana kita, dengan emas sebesar gunung sekalipun kita tidak mampu untuk membeli kembali walau satu saatpun yang telah berlalu. 

              Selain memanfaatkan waktu yang dikurniakan oleh Allah s.w.t., setiap hamba-Nya haruslah menepati waktu jika sudah berjanji dalam suatu urusan. Jangan sekali-kali lewat jika temu janji sudah dibuat. Ia akan membuatkan orang lain kurang hormat dengan kita. Usaha dakwah juga akan terjejas jika masa tidak dirancang dengan baik.

9. Tersusun dalam urusannya (munazzam fi syu'unihi)



               Perancangan yang rapi dan efektif menjadikan seseorang muslim lebih produktif dalam hidupnya. Rumah yang kemas, pakaian yang sesuai, jadual yang tersusun dan seimbang antara kerjaya, keluarga, kesihatan dan dakwah menaikkan nilai diri kita dan lebih dihormati oleh orang lain. 

                 Urusan yang tersusun dapat mengelakkan kita menjadi sibuk tetapi tidak produktif. Produktif tidak semestinya sibuk dan terburu-buru. Produktif ialah memberi keutamaan kepada aktiviti bernilai tinggi dan mengurangkan aktiviti sia-sia. Buku The 7 Habits of Highly Effective People ditulis oleh Dr Stephen R. Covey merupakan buku yang sangat bagus untuk rujukan dalam menyusun aktiviti dan program seharian.


10. Berguna untuk orang lain (naafi'un lighoirihi)


                Seorang pakar motivasi pernah berkata, antara keinginan utama setiap manusia ialah sentiasa menjadi lebih baik daripada sebelumnya dan memberi manfaat kepada orang lain. Ia akan merangsang perasaan bahagia jika dilakukan. 

               Islam mengajar kita untuk sentiasa memberi kebaikan kepada orang lain, bahkan berbakti kepada alam sekitar dan juga haiwan. Sifat untuk sentiasa memberi manfaat kepada orang lain amat mulia dan harus diamalkan oleh setiap muslim. 

Rumusan

                 Berikut merupakan nota ringkas berkenaan 10 muwasafat tarbiyah yang harus ada pada setiap muslim. Bagaimana anda merancang untuk mengamalkan 10 sifat ini pada kehidupan harian? Kongsikan dengan kami dalam ruangan komen di bawah.

Post a Comment

0 Comments